ad
AGENDA

Kerajaan jangka umum kadar diskaun tol sempena Aidilfitri esok

25 Mac 2025, 8:14 AM
Kerajaan jangka umum kadar diskaun tol sempena Aidilfitri esok

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan dijangka mengumumkan kadar pemberian diskaun tol sempena Aidilfitri esok, maklum menteri kerja raya.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara tersebut akan diumum selepas mesyuarat Kabinet, lapor Berita Harian.

"Kita tunggu (pemberian diskaun) akan diumumkan, berkemungkinan esok selepas mesyuarat Kabinet," katanya ketika ditanya mengenai pemberian diskaun tol sempena Hari Raya Aidilfitri.

Nanta pada 20 Mac lalu berkata pengumuman berhubung pemberian diskaun tol 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri akan diumum dalam masa terdekat.

Katanya, kerajaan akan meneruskan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus pada Aidilfitri ini seperti yang diberikan pada Tahun Baharu Cina, Januari lalu.

Pemberian diskaun tol pada Tahun Baharu Cina sebelum ini membabitkan implikasi kewangan ditanggung kerajaan sebanyak RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.

Januari lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor terpilih, di kementeriannya, hari ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.