SHAH ALAM, 25 MAC : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan skim rebat taksiran kepada pemilik rumah mesra alam di kawasan tersebut.
Datuk bandarnya berkata permohonan yang dibuka sejak 1 Mac sehingga 30 Jun ini menawarkan rebat maksimum sehingga 100 peratus atau RM500, mana yang lebih rendah bagi setiap individu.
Jelas Mohamad Zahri Samingon, lima amalan mesra alam yang dinilai ialah tenaga, air, pengurusan sisa, pengangkutan dan biodiversiti.
"Inisiatif yang diperkenal sejak 2011 ini bertujuan menghargai warga Petaling Jaya yang mengamalkan gaya hidup mesra alam di kediaman masing-masing.
"Program ini merupakan salah satu perkara yang dirancang dalam Pelan Tindakan Iklim Petaling Jaya 2030 yang menyasarkan pengurangan karbon sebanyak 33 peratus," katanya dalam mesyuarat penuh MBPJ semalam.
Mohamad Zahri berkata Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam akan mengadakan sesi taklimat dan promosi ke kawasan ahli majlis sepanjang tempoh empat bulan permohonan skim berkenaan.
"Sesi taklimat dan promosi ini bertujuan perkongsian maklumat dan 'teach-in' bagi memudah cara komuniti untuk membuat permohonan," katanya.