ad
AGENDA

Bila pembeli ubah angin, tiba masa peniaga masuk e-bazar

24 Mac 2025, 12:00 PM
Bila pembeli ubah angin, tiba masa peniaga masuk e-bazar

Oleh Ufairah Tarmidzi

SHAH ALAM, 24 MAC: Tiba masanya peniaga bazar di seluruh negara beralih dari konsep tradisional atau fizikal kepada dalam talian (e-bazar), seiring perkembangan digital masa kini.

Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Tapah berkata perubahan itu juga bagi memenuhi permintaan pelanggan, terutama yang berkeluarga dan memiliki anak kecil.

Selain mementingkan keselesaan, platform e-bazar menurut Dr Zarul Azhar Nasir boleh menjangkau segmen pelanggan yang meluas kerana memudahkan mereka membeli juadah dengan cepat.

“Kalau dahulu ramai sanggup beratur dalam cuaca panas, namun kini ramai mementingkan keselesaan.

“(Justeru) e-bazar boleh menampung segmen pelanggan yang tidak kerap keluar kerana mereka berkeluarga dan mempunyai ramai anak," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Pada masa sama, Dr Zarul Azhar mengingatkan peniaga yang ingin beralih ke platform digital untuk menjalankan promosi secara agresif dan menguruskan stok perniagaan dengan baik.

Sebelum ini, media melaporkan tawaran baucar dan diskaun berganda menjadikan bazar digital mendapat perhatian ramai, dengan 72 peratus pembeli percaya Ramadan waktu terbaik berbelanja.

Pada 2023, statistik Branding In Asia menunjukkan jumlah jualan dalam talian meningkat kepada 40 peratus ketika Ramadan, berbanding 30 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Pada April 2020, Selangor melaksanakan inisiatif pembelian dalam talian bagi menggantikan bazar Ramadan yang dibatalkan di negeri itu berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata ekosistem keusahawanan baharu tersebut menyaksikan kerjasama dengan syarikat penghantaran terkemuka Grab Malaysia.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.