ad
AGENDA

Polis siasat tiga anggota trafik buat sekatan jalan di Serdang

24 Mac 2025, 12:22 AM
Polis siasat tiga anggota trafik buat sekatan jalan di Serdang

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Polis akan melakukan siasatan dalaman terhadap tiga anggotanya yang dirakam dalam video tular mengadakan sekatan jalan raya di persimpangan The Mines di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A. Anbalagan berkata siasatan berkenaan adalah bagi menentukan sama ada berlaku salah laku atau pelanggaran garis panduan dalam pelaksanaan sekatan jalan raya.

"Siasatan sedang dijalankan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang tidak akan berkompromi jika terbukti berlaku pelanggaran prosedur semasa sekatan jalan raya diadakan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Terdahulu, tular satu video di media sosial berdurasi 1 minit 19 saat yang menunjukkan tiga anggota polis trafik melakukan sekatan jalan raya, sebelum seorang daripada mereka dirakam mengambil sesuatu daripada seorang pemandu kereta yang ditahan.

Anbalagan turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian berkenaan kerana boleh mengganggu siasatan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.