ad
AGENDA

Suspek samun kedai emas ditahan tidak sampai enam jam melakukan jenayah

23 Mac 2025, 12:15 AM
Suspek samun kedai emas ditahan tidak sampai enam jam melakukan jenayah

SHAH ALAM, 23 MAC: Tidak sampai enam jam melakukan jenayah samun bersenjata api di kedai emas dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara petang semalam, seorang lelaki tempatan dipercayai suspek ditahan 10.15 malam tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata penahanan lelaki itu yang dilakukan polis kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sekitar kawasan Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Beliau berkata hasil penahanan itu menemukan semula sejumlah barang kemas yang dilarikan.

“Tangkapan dan barang kes dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hussein berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991.

Hussein berkata Pusat Kawalan Polis Daerah (DCC) IPD Petaling Jaya menerima satu maklumat daripada orang awam berhubung kejadian samun senjata api di premis kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara pada 4.56 petang semalam.

“Penjenayah dipercayai lelaki tempatan itu menggunakan senjata dipercayai sepucuk pistol ketika melakukan samun.

“Sejumlah tujuh dulang barang kemas di dalam rak pameran kedai berjaya dilarikan penjenayah dan lelaki itu melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang menunggu di luar pasar raya itu, dan kerugian dianggarkan RM2 juta,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.