ad
AGENDA

Gudang Makanan Selangor dilancar, simpan beras, daging sejuk beku

22 Mac 2025, 6:00 AM
Gudang Makanan Selangor dilancar, simpan beras, daging sejuk beku
Gudang Makanan Selangor dilancar, simpan beras, daging sejuk beku
Gudang Makanan Selangor dilancar, simpan beras, daging sejuk beku

KLANG, 22 MAC: Gudang Makanan Selangor (GMS) dilancar hari ini sebagai usaha mengukuhkan jaminan rantaian bekalan serta memastikan kestabilan harga barang.

Dato’ Menteri Besar berkata menggunakan fasiliti syarikat logistik Tiong Nam di Pelabuhan Klang, gudang itu menempatkan 5,000 tan beras dan 1,000 tan daging sejuk beku Allana yang mampu memenuhi keperluan kira-kira 20 peratus rakyat negeri ini.

Bagi jangka masa panjang, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan gudang kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu bakal menambah beberapa lagi produk makanan.

“Secara rasmi kita sudah ada GMS walaupun belum lengkap. Bekalan tidak disimpan dalam tempoh lama dan dijual pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) serta di pasar raya Ehsan Mart.

[caption id="attachment_692738" align="aligncenter" width="728"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik pelancaran Gudang Makanan Selangor (GMS) di Tiong Nam Logistik, Pelabuhan Klang, Klang pada 22 Mac 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“ni merupakan ekosistem keterjaminan makanan yang sudah dirancang sejak lebih setahun lalu. Jika berdepan bencana seperti ketika penularan Covid-19 dahulu dan dikenakan perintah kawalan pergerakan, sekurang-kurangnya bekalan ini mampu bertahan tiga bulan,” katanya.

Bercakap pada sidang media pelancaran GMS, Amirudin berkata hasil pertanian diusahakan PKPS antaranya daging lembu, kambing serta ayam juga bakal ditempatkan di gudang yang menelan belanja lebih RM10 juta itu.

“Sekarang kita import daging. PKPS sedang usaha untuk ada ladang ternakan daging dan lembu sendiri.​ Ayam kita sudah ada tetapi mahu luaskan lagi.

“Kita juga ada pajakan beras di Sekinchan dan berhasrat untuk tambah lagi jika ada keperluan termasuk di negeri lain. Sasaran kita nak tampung keperluan 100 peratus penduduk negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri mengambil langkah jangka panjang dengan mendirikan gudang sendiri seluas 10 ekar bertempat di Kuala Selangor.

“Sekarang sedang tunggu kebenaran merancang (KM) dan kelulusan tanah. Kita mulakan dengan bekalan supaya bila siap, tidak lagi perlukan masa untuk dapatkan bekalan.

“Bila sudah ada, kita akan lapor kepada polis, tentera, Majlis Keselamatan Negara supaya gudang itu tidak boleh dimasuki dan dicabar mana-mana pihak,” katanya.

Bulan lalu, Amirudin berkata Selangor menjadi negeri pertama mewujudkan simpanan bekalan makanan membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM50 juta.

[caption id="attachment_692737" align="aligncenter" width="749"] Daging beku yang di simpan dalam Gudang Makanan Selangor (GMS) di Tiong Nam Logistik, Pelabuhan Klang, Klang pada 22 Mac 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.