SHAH ALAM, 22 MAC: Festival Turath Islami Selangor anjuran Kerajaan Negeri diteruskan pada 11 hingga 19 Julai depan bagi menyemarakkan lagi pengajian kitab Islam.
Program kali ketiga itu bakal menampilkan lebih ramai tokoh Islam termasuk tokoh muslim berpengaruh dunia Mufti Muhammad Taqi Usmani.
Menurut Dato’ Menteri Besar berkata Dato’ Seri Amirudin Shari, festival turath tahun ini dianjurkan bersekali dengan Pesta Buku Islami Selangor dan Pameran al-Wahyu yang memaparkan institusi pondok dan pesantren.
“Selain itu, kita juga akan membawa bekas Mufti Agung Mesir Dr Ali Jum’ah, ulama tafsir dari Magribi Syeikh Mustafa al-Bahyawi dan beberapa tokoh ulama tempatan serta Nusantara.
“Antara pengisian utama adalah sesi bacaan dan kupasan tafsir surah terpilih dari kitab Tafsir Jalalain dan munaqasyah ilmiah bersama ulama antarabangsa serta syarahan perdana,” katanya.
Mula dianjurkan pada 2023, Festival Turath Islami Selangor merupakan ilham Amirudin yang berhasrat menghidupkan pengajian Islam secara tradisional di negeri ini dan seterusnya berkembang ke seluruh negara.