ad
AGENSI

Aneka Walk bakal dibuka, transformasi Shah Alam ke arah bandar raya moden

21 Mac 2025, 2:00 PM
Aneka Walk bakal dibuka, transformasi Shah Alam ke arah bandar raya moden
Aneka Walk bakal dibuka, transformasi Shah Alam ke arah bandar raya moden

SHAH ALAM, 21 MAC: Satu lagi pembangunan berkonsep hab komuniti moden di Seksyen 14, di sini bakal dibuka menjelang suku ketiga tahun ini sekali gus merangsang ekonomi setempat.

Pengarah Projek Signature Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata Aneka Walk yang dijalankan dengan kerjasama KRU Entertainment dilengkapi landskap hiburan, seni, kebudayaan, perniagaan dan inovasi digital.

Jelas Azilah Arasad@Arshad, terhubung dengan SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam, pembangunan tersebut akan menjadikannya pusat aktiviti paling dinamik, inovatif dan lengkap di bandar raya ini.

“Projek ini terletak di tengah pusat bandar Shah Alam dan menawarkan pengalaman hiburan berasas teknologi yang menggabungkan muzik, seni digital, realiti maya serta pengalaman interaktif.

“Aneka Walk turut menjadi lambang transformasi Shah Alam ke arah bandar raya yang lebih moden dan inklusif.

“Dengan menghubungkan SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam, ia akan menjadi hab gaya hidup dan perniagaan yang mengangkat nama bandar raya Shah Alam ke peringkat lebih tinggi,” katanya menerusi kenyataan.

[caption id="attachment_692610" align="aligncenter" width="673"] Lakaran artis Aneka Walk yang bakal dibuka di Seksyen 14, Shah Alam. Foto PKNS[/caption]

Beliau berkata laluan berbumbung sepanjang 300 meter turut disediakan bagi memudahkan pengunjung menikmati pengalaman hiburan digital, membeli-belah, menjamu selera dan berinteraksi secara inovatif.

Aneka Walk yang mampu menampung 3,000 pengunjung pada satu-satu masa turut menawarkan 150 lot niaga untuk memenuhi keperluan usahawan antaranya sektor makanan dan minuman, fesyen, kraf dan seni muzik.

“Aneka Walk juga bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Selangor dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor niaga dan pengurusan acara.

“Ruang serta platform niaga ini akan menyokong usahawan tempata dan berpotensi merangsang ekonomi setempat selain mengukuhkan perniagaan kecil serta sederhana,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.