ad
AGENDA

Imigresen: Seremban, Nilai 'sarang' pendatang asing

21 Mac 2025, 5:07 AM
Imigresen: Seremban, Nilai 'sarang' pendatang asing

SEREMBAN, 21 MAC: Seremban antara kawasan 'hotspot' pendatang tanpa izin di Negeri Sembilan dengan 1,655 warga asing direkodkan ditahan atas pelbagai kesalahan sepanjang aktiviti penguatkuasaan tahun lepas.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Kennith Tan Ai Kiang berkata ia diikuti Port Dickson dengan tangkapan 220 pendatang tanpa izin, Kuala Pilah (124), Jempol (117), Tampin (89), Jelebu (64) dan Rembau (23).

"Seremban merangkumi Nilai menjadi tumpuan pendatang tanpa izin kerana terdapat peluang pekerjaan yang tinggi.

"Kebanyakan mereka dikesan bekerja di kawasan industri termasuk Nilai 3, manakala di Port Dickson di sekitar kedai makan terutama restoran tomyam," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan bersama media di sini semalam.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas pihaknya telah menjalankan 874 operasi dan memeriksa 7,746 warga asing dengan 2,093 daripadanya ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah.

Tan berkata 58 majikan turut didakwa kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit sah dan 197 lagi diberikan amaran.

"Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini hingga 19 Mac lepas, sebanyak 8,358 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu 393 pendatang tanpa izin ditahan,” katanya sambil menambah sebanyak 16 majikan turut ditahan dalam tempoh sama.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan majikan yang menggajikan pekerja asing tanpa permit sah, di samping memastikan tindakan tegas termasuk pendakwaan akan dikenakan kepada mereka.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.