SEPANG, 21 MAC: Peniaga makanan sejuk beku vegetarian meraih hasil jualan hingga RM50,000 setiap bulan selepas mendapat bantuan pembiayaan perniagaan dari Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor).
Narayanan G.Marimuthu, 49, berkata perniagaan yang diusahakan sejak 2020 mula diuji hingga mengalami kerugian besar akibat Covid-19 dan banjir besar pada 2021.
Menurutnya, bantuan sejumlah RM5,000 oleh Hijrah Selangor pada 2021 menjadi pencetus memulihkan semula perniagaanya hingga berjaya membuka cawangan di Himalaya, India.
“Saya hanya bermula membuka gerai tepi jalan di Salak Tinggi. Namun kini berjaya membuka tiga cawangan termasuk di luar negara dengan menawarkan 28 jenis makanan sejuk beku seperti tosai, capati dan puree.
“Selepas ini, saya merancang untuk meluaskan perniagaan dengan menambah cawangan di Bali, Indonesia selepas menembusi pasaran antarabangsa di India,” katanya lagi.
Beliau merupakan salah seorang daripada 10 usahawan yang diraikan pada program “10 Tahun Kecemerlangan: Memperkasa Usahawan” daerah Sepang anjuran Hijrah Selangor di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana di sini, petang semalam.
Bagi Muhammad Khafe Sailan, 57, dana sebanyak RM5,000 dari Hijrah Selangor membantu mengembangkan perniagaan khidmat sewa lori dan jualan haiwan ternakan hingga mampu menjana RM15,000 setiap bulan.
“Saya memulakan perniagaan di sebuah kandang untuk jual beli lembu dan lori di hadapan rumah sahaja sepuluh tahun lalu.
“Selepas mendapat sokongan dari Hijrah Selangor saya memiliki dua buah lori termasuk memiliki kandang di atas tanah pajakan rizab seluas lima ekar di Olak Empit, Banting selama 21 tahun,” kongsinya.
Seorang lagi usahawan, Siti Asmah Masni, 37, pinjaman modal hingga RM50,000 ketika memulakan perniagaan bengkel kereta membantu memperluas operasi dan meningkatkan hasil perniagaan.
“Saya menggunakan modal untuk membeli peralatan bengkel hingga berjaya membuka tiga cawangan di Salak Tinggi.
“Pendapatan perniagaan meningkat 10 kali ganda hingga RM300,000 banding sebelum mendapat suntikan modal dari Hijrah Selangor hanya RM30,000 setiap bulan dengan satu cawangan,” ujarnya.