SEPANG, 21 MAC: Lebih 1,000 usahawan menerima manfaat pembiayaan khas RM3,000 melalui skim Platform Selangor (U-PLATS) sejak mula diperkenalkan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) tahun lalu.
EXCO Usahawan Mohd Najwan Halimi berkata U-PLATS merupakan suntikan modal tambahan buat peniaga berskala kecil yang ingin memulakan perniagaan.
“Peminjam diberi pinjaman serendah RM3,000 dengan tanpa faedah khusus usahawan yang berniaga seperti di gerai, burger dan kuih.
“Selain U-PLATS, Hijrah Selangor juga menawarkan pembiayaan Skim i-Bisnes untuk usahawan mikro dan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) pada wanita mengembangkan perniagaan dengan modal RM50,000,” katanya.
Ditemui selepas mengedarkan kupon digital Platform Selangor (PLATS) di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana semalam, Najwan memaklumkan beliau berpuas hati dengan prestasi bayaran balik di kalangan peminjam Hijrah Selangor.
“Pada era Covid-19, Hijrah Selangor bergelut berhadapan dengan isu menjelaskan semula pinjaman disebabkan perniagaan terjejas.
“Namun, di bawah pengurusan baharu Hijrah Selangor, pengurusan kutipan hutang bertambah baik melalui pendekatan diplomasi serta tidak memberi tekanan dengan melaksanakan penstrukturan semula buat peminjam,” ujarnya.
Dalam pada itu, Najwan memberitahu Hijrah Selangor turut menyediakan 12 Pusat Perniagaan (Business Centre) di seluruh daerah pihak berkuasa tempatan negeri ini.
“Business Centre merupakan komitmen Hijrah Selangor untuk memberi sokongan menyeluruh dari akses pembiayaan dan bimbingan perniagaan buat usahawan,” jelasnya.