ad
AGENDA

Polis Pahang nafi kawasan ladang nanas terbakar sarang penagih dadah

20 Mac 2025, 3:51 AM
Polis Pahang nafi kawasan ladang nanas terbakar sarang penagih dadah

KUANTAN, 20 MAC: Polis menafikan kebakaran hutan dan ladang nanas berhampiran Kampung Cenderawasih, Pekan seluas 113 hektar sejak 7 Mac lepas berpunca daripada aktiviti haram seperti perbuatan penagih dadah yang menjadikan kawasan hutan berhampiran sebagai tempat melepaskan gian atau ‘port’ dadah.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati kebakaran di tanah milik persendiran dan kerajaan itu berpunca daripada pembakaran terbuka.

Beliau berkata berdasarkan pemeriksaan polis, tidak ada sarang dadah di kawasan berkenaan, dan ia merupakan kawasan terbuka.

“.. dan tak mungkin penagih akan membakar tempat mereka sendiri... maklumat tepat kita belum dapat, masih dalam siasatan,” katanya kepada media selepas Program ‘High Profile Policing’ dan meninjau bazar Ramadan di Tanjung Lumpur di sini, petang semalam.

Sementara itu Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya di kawasan tanah gambut yang apinya mudah merebak dan sukar untuk dipadamkan sepanjang musim panas dan kering ketika ini.

Sebelum ini ada pihak mendakwa kebakaran itu bermula di satu kawasan hutan yang sering menjadi tempat berkumpul individu dipercayai penagih dadah.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.