ad
AGENDA

Situasi Sudan Selatan meruncing: 55 rakyat, 18 polis Malaysia selamat

20 Mac 2025, 2:23 AM
Situasi Sudan Selatan meruncing: 55 rakyat, 18 polis Malaysia selamat

PUTRAJAYA, 20 MAC: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya mengesahkan kesemua 55 orang awam Malaysia dan 18 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang berkhidmat dalam misi United Nations Police (UNPOL) di Sudan Selatan selamat.

Suruhanjaya Tinggi terus berhubung rapat dengan UNPOL bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anggota PDRM yang sedang bertugas di negara itu, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri pada Khamis (20 Mac).

Memandangkan situasi di Sudan Selatan yang semakin meruncing dan sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian menasihatkan semua warganegara Malaysia di negara itu supaya berwaspada serta memberikan keutamaan kepada keselamatan diri.

“Mereka juga boleh mempertimbangkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat atau kembali ke Malaysia secara sukarela sekiranya merasakan keselamatan mereka terancam," menurut kementerian itu, yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra.

Wisma Putra juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk menangguhkan perjalanan ke negara itu buat masa ini kerana situasi yang tidak menentu.

“Semua warganegara Malaysia di Sudan Selatan dimohon untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya bagi memastikan mereka menerima maklumat terkini dan bantuan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Untuk maklumat lanjut, Suruhanjaya Tinggi boleh dihubungi di 611, Runda Grove, Runda, P.O. Box 42286-00100, Nairobi; telefon: +254 111 052710 (pejabat) / +254 741 603952 / +254 704 770367 (mudah alih); atau melalui e-mel di [email protected].

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.