ad
AGENDA

Syawal: 12 lokasi berisiko kemalangan dikenal pasti di Plus, LPT

20 Mac 2025, 1:00 AM
Syawal: 12 lokasi berisiko kemalangan dikenal pasti di Plus, LPT

KUCHING, 20 MAC: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 12 lokasi berisiko berlaku kemalangan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sempena Aidilfitri akan datang.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pasukannya akan ditempatkan di semua lokasi tersebut bermula 29 Mac hingga 3 April.

“Dua lebuh raya ini menjadi tumpuan kita…matlamat utama kami adalah untuk sampai ke lokasi berlaku kemalangan tidak lewat dari setengah jam setelah berlaku sebarang insiden.

“Berdasarkan pengalaman kita apabila berlaku sebarang kejadian di lebuh raya tersebut ia boleh menyebabkan kesesakan trafik yang panjang jadi untuk mengurangkan impak daripada insiden itu kita letakkan anggota di lokasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelantikan Koperasi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Berhad (Kobopem) Advance Sdn Bhd sebagai operator stesen pelbagai bahan api Petros Batu Kawa di sini, semalam.

Sementara itu, Nor Hisham berkata bagi Sarawak, JBPM tidak akan meletakkan anggota di tempat tertentu sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo tetapi akan melakukan rondaan sempena Aidilfitri nanti.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.