ad
AGENDA

Lebih 170 kanak-kanak, 80 wanita terbunuh sejak serangan Israel semalam

19 Mac 2025, 3:44 PM
Lebih 170 kanak-kanak, 80 wanita terbunuh sejak serangan Israel semalam
Lebih 170 kanak-kanak, 80 wanita terbunuh sejak serangan Israel semalam

NEW YORK, 19 MAC: Lebih 170 kanak-kanak terbunuh ketika serangan pendudukan Israel di Semenanjung Gaza sejak awal pagi semalam, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Dalam kenyataan di laman sesawang rasminya, OCHA memaklumkan jumlah keseluruhan orang awam yang terkorban akibat serangan itu melebihi 400, termasuk lebih 170 kanak-kanak dan 80 wanita.

Pasukan penyelamat dan paramedik dilaporkan tidak dapat mengakses ramai mangsa akibat kekurangan peralatan, bahan api dan jentera berat.

OCHA turut menyatakan bahawa hanya empat hospital medan beroperasi sepenuhnya di kawasan itu manakala 22 hospital dan enam hospital medan beroperasi secara separa.

Sebanyak 13 hospital dan empat hospital medan telah berhenti beroperasi sepenuhnya kerana kemusnahan serta kekurangan kakitangan perubatan dan ubat-ubatan.

Pejabat itu turut memetik kenyataan Pengarah Hospital Al-Shifa, Mohammed Abu Salmiya yang menyifatkan situasi semasa sebagai "malapetaka" dengan pihaknya menerima ramai mangsa.

Agensi itu memberi amaran bahawa lebih sejuta penduduk di Gaza berdepan kekurangan makanan yang teruk sekiranya penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan berkenaan tidak disambung semula. Mereka juga berisiko tidak menerima catuan makanan pada Mac jika penghantaran ke Gaza tidak diteruskan.

Bekalan makanan yang ada di Semenanjung Gaza semakin berkurangan dengan cepat, dan bagi menangani situasi itu, rakan kongsi PBB terpaksa mengurangkan secara drastik bantuan makanan, menggantung pengagihan tepung dan makanan segar, serta mengurangkan kuantiti hidangan panas di dapur awam.

OCHA turut memberi amaran bahawa jika keadaan itu berterusan, sekurang-kurangnya 80 daripada 170 dapur awam di Gaza terpaksa ditutup dalam masa satu atau dua minggu.

- BERNAMA-WAFA

[caption id="attachment_692141" align="aligncenter" width="1346"] Orang ramai tidak dapat menahan perasaan melihat warga Palestin terbunuh dalam serangan Israel di utara Semenanjung Gaza, Palestin pada 15 Mac 2025. Foto REUTERS[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.