ad
AGENDA

Kabinet setuju teruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370

19 Mac 2025, 3:02 PM
Kabinet setuju teruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370

PUTRAJAYA, 19 MAC: Kabinet bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian dengan Ocean Infinity (United Kingdom) bagi meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata dengan kelulusan itu, Kementerian Pengangkutan akan mewakili kerajaan bagi menandatangani perjanjian pencarian dengan syarikat berkenaan.

“Keputusan Jemaah Menteri ini membolehkan operasi pencarian dasar laut dimulakan bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip no find, no fee,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Loke berkata berdasarkan prinsip itu, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan bayaran kepada syarikat berkenaan sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat MH370 ditemukan dan fi USD70 juta akan dibayar kepada Ocean Infinity jika ia berjaya dijumpai.

“Kerajaan komited meneruskan operasi pencarian dan memberikan penutup bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370," katanya.

Sebelum ini, Ocean Infinity melakukan pencarian pesawat yang hilang itu bermula dari Januari 2018, meliputi lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut di selatan Lautan Hindi sebelum menamatkan misi pada 29 Mei 2018.

Pada 8 Mac 2014, Penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal hilang dari radar dan kehilangan pesawat itu kekal hingga hari ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.