SHAH ALAM, 19 MAC: Tambahan setengah bulan gaji menjadikan bantuan kewangan berjumlah sebulan setengah sempena Aidilfitri yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini menggembirakan kumpulan penjawat awam.
Kakitangan Jabatan Perbendaharaan, Nur Edahyu Ismail, 36, berkata bantuan termasuk Insentif Rekod Hasil Negeri akan mengurangkan beban belanja dalam menyediakan keperluan hari raya.
“Memang tahu dapat sebulan gaji pada 25 Mac tapi bila MB umum tambahan setengah bulan lagi selepas raya, lagi bertambah gembira.
[caption id="attachment_692292" align="alignleft" width="428"] Nor Edahyu Ismail, 36, ditemui ketika majlis Mahabbah Ramadan Madani Bersama Penjawat Awam Selangor 2025 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 19 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Pemberian berperingkat ini juga dapat bantu kakitangan mengurus kewangan dengan baik. Sebab kita akan guna banyak duit sebelum raya.
“Jadi bila ada lagi bantuan selepas raya, memang membantu. Terima kasih kepada pentadbiran atas sumbangan ini,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu penolong pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Petaling berkata beliau bersyukur kerana turut menerima bantuan RM250 sempena Aidilfitri ini.
Dengan jumlah berkenaan, Jamal Iqbal Hakim Yahya, 28, berkata ia mampu mengurangkan kos menyediakan kelengkapan raya.
“Ini macam duit raya. Tak sangka dapat sebab kita kakitangan persekutuan tetapi memang kerap bekerjasama dengan negeri terutama pihak berkuasa tempatan.
[caption id="attachment_692293" align="alignright" width="423"] Jamal Iqbal Hakim Yahya, 28, ditemui ketika majlis Mahabbah Ramadan Madani Bersama Penjawat Awam Selangor 2025 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 19 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita harap bantuan ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penjawat awam negeri bakal menerima tambahan setengah bulan gaji menjadikan keseluruhan bantuan khas kewangan Aidilfitri sebulan setengah gaji.
Sumbangan tersebut disalur secara berperingkat mulai 25 Mac hingga sebelum 15 April melibatkan kewangan RM38.75 juta.
Peruntukan itu turut merangkumi pemberian RM250 kepada 50,000 kakitangan persekutuan berpendapatan RM3,000 ke bawah yang berkhidmat di Selangor.
Insentif setengah bulan elaun atau minimum RM500 pula dinikmati pemimpin masyarakat, pegawai perhubungan kampung, ketua komuniti India, kampung bagan, penyelia Wanita Berdaya Selangor dan Penggerak Belia Selangor.
Manakala petugas masjid antaranya nazir, imam, siak dan bilal pula akan menerima RM500 sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Sebelum ini, Amirudin dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan pemberian BKK 2024 sebanyak dua bulan kepada semua penjawat awam yang dibayar secara berperingkat.
BKK pertama dibayar pada 30 Disember seterusnya 25 Mac sempena sambutan Aidilfitri.
[caption id="attachment_692286" align="aligncenter" width="1081"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor kepada jabatan pada Majlis Mahabbah Ramadan Madani Bersama Penjawat Awam Selangor 2025 di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz Shah,Seksyen 5, Shah Alam pada 19 Mac 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR[/caption]