ad
AGENDA

Ismail Sabri beri keterangan kepada SPRM lebih enam jam hari ini

19 Mac 2025, 9:45 AM
Ismail Sabri beri keterangan kepada SPRM lebih enam jam hari ini

PUTRAJAYA, 19 MAC: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Beliau dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada 4.35 petang. Terdahulu beliau tiba di ibu pejabat SPRM pada 9.57 pagi dan proses merakam keterangan berlangsung lebih enam jam.

Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya dan terdapat banyak lagi perkara yang perlu diajukan kepada bekas perdana menteri itu.

Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house, hasil serbuan SPRM.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.