ad
AGENDA

Santan, bawang antara 26 barangan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

19 Mac 2025, 9:15 AM
Santan, bawang antara 26 barangan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

PUTRAJAYA, 19 MAC: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri 2025 melibatkan 26 barangan­ akan dilaksanakan selama 15 hari bermula 24 Mac hingga 7 April.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata empat barangan ditambah dalam skim berkenaan tahun ini iaitu bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (ros), lobak merah dan santan.

“Kita perlu juga masukkan santan dalam program skim harga ini kerana kita khuatir walaupun bekalan agak stabil, menjelang Syawal nanti akan berlaku peningkatan harga.

“Jadi mahu tidak mahu kita rundingkan dan alhamdulillah pihak yang berkaitan akhirnya bersetuju supaya santan dimasukkan dalam skim ini,” katanya pada sidang media pengumuman SHMMP sempena Aidilfitri 2025 di sini hari ini.

Armizan berkata harga maksimum runcit bagi santan yang sebelum ini RM22 sekilogram, kini akan dikawal pada RM17.50 sekilogram di Semenanjung, Labuan (RM15), Sabah (RM12) dan Sarawak (RM9).

Beliau berkata barangan lain di bawah skim itu ialah daging lembu tempatan kecuali daging batang pinang, daging lembu import, daging kerbau import, ikan kembung, ikan selayang, ikan tongkol dan ikan demuduk.

Barangan lain termasuk tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang besar kuning, bawang putih China, bawang kecil merah India, ubi kentang import, cili kering keriting, kacang tanah, kelapa biji dan kelapa parut.

“Tahun lepas kita menghadapi masalah pembekalan yang amat besar apabila antaranya India melaksanakan sekatan eksport. Alhamdulillah, dua jenis bawang ini dapat dimasukkan untuk skim SHMMP Aidilfitri 2025,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan SHMMP sempena Aidilfitri tahun ini adalah bersesuaian bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan situasi menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga.

Pengguna katanya dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.

Armizan berkata penguatkuasaan harga kawalan itu akan dipantau oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang ditugaskan bagi melakuakan pemantauan di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah untuk memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

Peniaga yang didapati gagal mematuhi skim itu, katanya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.