ad
AGENDA

Video tular Zayn Rayyan, polis selesai rakam keterangan lima individu

19 Mac 2025, 7:48 AM
Video tular Zayn Rayyan, polis selesai rakam keterangan lima individu

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Polis selesai merekod keterangan lima individu bagi membantu siasatan berkaitan rakaman video membabitkan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin yang tular menerusi laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja'afar berkata mereka ialah perakam video itu sendiri, suami dan rakannya, wanita yang memuat naik video berkenaan dan ibu kepada Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf.

"Berdasarkan siasatan, video berkenaan dimuat naik ke laman sosial sebagai tanda sokongan dan keadilan kepada Zayn Rayyan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 11 Mac lepas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor memaklumkan Ismanira membuat satu laporan polis berhubung satu pautan video TikTok yang diterimanya melalui aplikasi WhatsApp.

Pautan video berdurasi kira-kira satu minit itu menunjukkan Ismanira sedang berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anaknya iaitu Zayn Rayyan dan adiknya yang berusia enam tahun menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor.

Mohd Hafiz berkata laporan itu dibuat berikutan Ismanira merasakan bahawa keselamatan beliau dan keluarganya berada dalam keadaan terancam.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.