ad
AGENDA

Masjid, surau seliaan Jakim, Jawi diarah laksana solat hajat untuk Palestin

19 Mac 2025, 4:32 AM
Masjid, surau seliaan Jakim, Jawi diarah laksana solat hajat untuk Palestin

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarah melaksanakan solat hajat secara berterusan sebagai doa kepada rakyat Palestin sepanjang baki Ramadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata solat hajat itu juga tanda solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin susulan tindakan kejam rejim Israel mengingkari perjanjian gencatan senjata dan melakukan serangan tanpa perikemanusiaan di Gaza.

Beliau berkata kerajaan Malaysia dengan tegas mengutuk keras tindakan kejam Zionis itu dan menyifatkan pembunuhan 404 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak manakala 562 lagi cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, adalah jenayah perang yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Umat Islam di seluruh negara diseru untuk bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT agar diberikan keselamatan dan kemenangan kepada rakyat Palestin yang ditindas.

“Malaysia kekal teguh dalam pendirian menyokong perjuangan rakyat Palestin dan tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman ini,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook hari ini.

Mohd Na'im turut menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan memastikan keadilan untuk rakyat Palestin.

Sabtu lepas, Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza, sekali gus mencabuli perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Jan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.