Oleh Intan Syuhada Akhir
Air mata Nora Danish tumpah berkali-kali setelah gagal menghafal ayat al-Quran.
Beliau berusaha menghafal surah al-Mulk tetapi berasa terlalu payah meski anak kelahiran Terengganu itu melakukannya bersungguh-sungguh sejak September tahun lalu.
Usaha pelakon Polis Evo itu juga mencuri tumpuan ramai apabila mula berkongsi ‘al-Mulk Challenge’ dengan mengajak pengikutnya menghafal ayat suci menjelang Ramadan.
“Saya seorang yang sangat pelupa. Sedangkan ingat lirik lagu pun gagal, apatah lagi hafal al-Quran.
“Memang sukar untuk hafal 10 ayat awal surah al-Mulk. Adakalanya sampai menangis tapi tidak patah semangat,” katanya yang mula bertudung Jun tahun lalu.
Sebaik hafal lima ayat pertama, wanita berusia 42 tahun itu kerap kali merayu kepada Allah supaya hatinya cekal. Akhirnya, pemilik nama asal Nora Mohd Danish Hanif berjaya menghafal 30 ayat surah tersebut.
“Semangat memang kena kuat. Setiap malam saya baca kerana Allah beri kemampuan ini kepada saya,” katanya kepada Selangorkini di sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini.
Tolak tawaran
Menginjak usia 40-an, Nora memasang niat untuk mendalami agama serta mendekatkan diri kepada-Nya. Sebulan sebelum mula bertudung, wanita itu bersungguh-sungguh menghadiri kuliah agama.
Ibu kepada dua orang anak itu juga tidak mengambil sebarang tawaran kerja dalam bulan ini untuk memberi tumpuan kepada kelas khatam al-Quran dan tafsir.
“Oleh sebab baru lagi berhijrah, saya mahu fokus dengan pembelajaran agama dan fikirkan betul-betul apa yang saya mahukan dalam hidup.
“Dalam seminggu, memang ada empat hingga lima kelas agama. Ramadan ini lebih istimewa kerana saya daftarkan diri ke kelas tadabbur dan program khatam al-Quran dalam 15 hari.
“Dari dulu hidup saya sangat kelam-kabut. Sudah masanya untuk saya gunakan kelapangan waktu dengan penuhkan diri dengan perkara sepatutnya,” katanya.
Digelar ‘ustazah’
Nora bukanlah bersara dari dunia lakonan yang dianggapnya sebagai cinta pertama tetapi hanya mengambil projek yang tidak memerlukannya berada lama di set penggambaran.
“Sekarang kerjaya lakonan saya lebih perlahan, hanya beberapa tawaran sahaja saya terima termasuk pengarah Erma Fatima. Jika drama bersiri, memang saya tolak awal-awal.
“Kebanyakan tawaran bertindih dengan kelas agama. Pada saya, mendekatkan diri dengan al-Quran, walaupun cuma membaca tafsir satu-satunya cara untuk kekal istiqamah,” katanya.
Tidak tersinggung apabila ada rakan artis menggelarnya ‘ustazah’ beliau juga berharap orang ramai tidak meletak harapan terlalu tinggi dan melenting jika suatu hari beliau berbuat silap.
“Tertekan juga ada yang kata saya artis contoh hingga rakan rapat pun panggil saya dengan gelaran ustazah.
“Cuma saya gusar pujian begini membuatkan saya senang dihakimi. Contohnya, ada ustaz yang baik tetapi kerana sedikit kesalahan, terus dilabel munafik.”