ad
AGENDA

Main mercun bola, dua beradik cedera melecur termasuk seorang parah

19 Mac 2025, 3:46 AM
Main mercun bola, dua beradik cedera melecur termasuk seorang parah

KUALA NERANG: Dua beradik berusia empat dan tujuh tahun melecur pada badan termasuk seorang parah akibat bermain mercun bola di kawasan rumah mereka di Kampung Baru, di sini malam tadi.

Difahamkan, ia kejadian pertama kecederaan akibat mercun dilaporkan berlaku di Kedah sepanjang Ramadan tahun ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Abdull Razak Osman mengesahkan kejadian itu susulan laporan diterima jam 1.32 pagi daripada pegawai perubatan yang memaklumkan mengenai dua kanak-kanak dikejarkan ke Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar sekitar jam 9.30 malam tadi.

Berdasarkan siasatan, katanya ibu dan bapa dua kanak kanak itu memaklumkan tidak menyedari perbuatan anak mereka bermain mercun di luar rumah, dengan mercun bola itu dikatakan diperoleh dari rakan sekampung.

"Ibu kanak kanak itu memaklumkan hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar letupan di luar rumah, sebelum bergegas keluar dan mendapati dua anaknya itu cedera," katanya.

Abdull Razak berkata, dua beradik itu mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan yang mana seorang daripadanya iaitu yang berusia tujuh tahun dilaporkan parah dan kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB.

Susulan itu, katanya satu kertas siasatan dibuka bersangkut kejadian ini mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun bagi kesalahan memiliki bahan letupan, manakala denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua duanya bagi kesalahan menyebabkan atau membiarkan kanak-kanak berada dalam situasi yang boleh menyebabkan kecederaan atau bahaya fizikal," katanya

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.