Oleh Ufairah Tarmidzi
GOMBAK, 19 MAC: Serangan udara tentera Israel yang mengorbankan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), baru-baru ini disifatkan tidak berperikemanusiaan.
Mengutuk keras insiden tersebut, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyifatkan serangan itu jenayah kejam dan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa.
“Saya ucap takziah kepada keluarga mangsa atas tragedi menyayat hati. Ini adalah pencabulan nyata terhadap gencatan senjata yang dibuat dengan melibatkan serangan udara rejim Zionis,” katanya.
Ditemui selepas penyerahan sumbangan Aidilfitri di Masjid Al-Khairiyah di sini semalam, jelasnya, Selangor bekerjasama dengan Mapim sejak tahun lepas untuk membantu rakyat Palestin.
Tambahnya, perbincangan turut diadakan bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk menghantar kutipan derma diperoleh bagi membina kemudahan asas.
Sebelum ini, media melaporkan lapan petugas kemanusiaan Mapim terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel di Beit Lahiya, utara Gaza pada 15 Mac lalu.
Serangan berlaku sekitar jam 1.30 petang waktu tempatan ketika mereka sedang mendirikan khemah bagi menempatkan keluarga pelarian akibat konflik berterusan di wilayah tersebut.