Oleh Ufairah Tarmidzi
GOMBAK, 19 MAC: Seramai 250 asnaf, 102 anak yatim serta 20 petugas barisan hadapan menerima sumbangan duit dan keperluan asas sempena Aidilfitri di sini, semalam.
Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan itu merupakan hasil pemberian kariah Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM250,000.
“Saya kagum melihat semangat yang ditonjolkan masjid kerana jumlah sumbangan diberikan itu juga amat signifikan dan tinggi nilainya.
“Ini menunjukkan masjid menjadi satu agen dapat membantu komuniti setempat dalam meringankan beban kepada mereka yang memerlukan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika majlis penyampaian sumbangan berkenaan.
Terdahulu, masing-masing anak yatim menerima wang tunai berjumlah RM800 sementara asnaf fakir miskin dan mualaf (RM600) serta petugas barisan hadapan (RM300).
[caption id="attachment_692174" align="alignnone" width="874"] Sebahagian asnaf bersama-sama selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid Al-Khairiyah Taman Sri Gombak pada 18 Mac 2025. Foto REMY ARIFIN /MEDIA SELANGOR[/caption]
Penerima sumbangan, Zabadah Ahamad, 65, berkata sumbangan RM600 membantu meringankan bebannya yang turut menjaga dua anak orang kurang upaya (OKU) mental, pekak dan bisu.
“Alhamdulillah, syukur sangat bantuan ini dapat meringankan beban saya sebagai ibu tunggal yang tidak bekerja manakala bantuan asas seperti beras, susu dan minyak masak dapat menjimatkan perbelanjaan harian kami.
“Terima kasih kepada pihak masjid kerana prihatin dan sudi menghulurkan bantuan, di harap ia sumbangan ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata ibu lima anak itu.
[caption id="attachment_692172" align="alignleft" width="348"] Suhaiza Razali[/caption]
Sementara itu, Suhaiza Razali, 41, berkata sumbangan itu membantu beliau membuat persiapan untuk anak-anak menyambut lebaran.
“Kami sekeluarga masih belum membuat sebarang persiapan Aidilfitri, namun, sumbangan RM600 ini akan digunakan untuk membeli baju raya anak-anak nanti sekali gus dapat menaikkan semangat mereka untuk beraya,” ujarnya.
[caption id="attachment_692177" align="alignright" width="342"] Zuraini Nasir[/caption]
Manakala Zuraini Nasir, 53, berkata selain memudahkan urusan persiapan Aidilftiri, sumbangan itu juga menampung perbelanjaan harian dalam menyediakan keperluan asas sepanjang Ramadan.
“Kos hidup sekarang tinggi, saya dan isteri pula hanya berniaga kerepek pisang dengan pendapatan yang tidak tetap serta perlu menampung lima orang.
“Bantuan begini dapat meringankan beban bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti saya,” tambahnya.