SHAH ALAM, 18 MAC: Kesihatan seorang anak Selangor, Fatimah Nuha Mustaza,20, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jordan pada 9 Mac lalu semakin baik, menurut bapanya Mustaza Abdul Aziz, 51.
Mustaza kini berada di Jordan ketika dihubungi berkata dia juga dimaklumkan bahawa anak kedua daripada lima beradik itu juga akan dibenar pulang dari hospital dalam masa terdekat.
"Alhamdulillah, setakat ini keadaan Fatimah Nuha baik dan tahap kesembuhan juga cepat cuma dia masih di hospital untuk doktor memantau tahap kesihatannya," katanya.
Tambah Mustaza, dia dan isteri Siti Alawiah Sahri, 49, ada merancang untuk membawa Fatimah Nuha pulang ke Malaysia untuk berehat sebelum benar-benar pulih untuk meneruskan pengajian.
"Perasaan ibu bapa mana tidak risaukan keadaan anaknya apatah lagi berpisah negara beribu batu, Alhamdulillah lega apabila dapat melihat dan menjaga sendiri anak kami.
"Saya dan isteri terfikir untuk bawa dia pulang ke Malaysia buat seketika biar dia rehat sepenuhnya sebelum betul-betul pulih...namun, kita akan ikut prosedur Jordan termasuk perkembangan kesihatan dia," katanya.
Dalam pada itu, Muztaza merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari yang meluangkan masa menzirahi, memberi kata semangat dan sumbangan peribadi.
"Terima kasih kepada semua yang mendoakan termasuk bantuan dan lawatan Dato' Menteri Besar ke kediaman kami baru-baru ini yang cukup prihatin.
"Saya mohon semua orang terus doakan kesejahteraan Fatima Nuha serta rakan-rakannya yang terlibat dalam insiden ini semoga segera sembuh dan dipermudah urusan," katanya.
Pada 9 Mac lalu, Selangorkini melaporkan dua anak Selangor yang menuntut di Jordan cedera termasuk seorang parah selepas terlibat dalam kemalangan.
Menurut Amirudin berkata dua penuntut itu ialah Sumayya Azamuddin dan Fatimah Nuha Mustaza.
Education Malaysia Jordan (EMJ) menerusi Facebook pula memaklumkan Fatimah Nuha dilaporkan mengalami kecederaan serius dan perlu menjalani pembedahan.