ad
AGENDA

Dua beranak rentung treler dipandu bapa rempuh belakang treler muatan kapas

18 Mac 2025, 4:22 AM
Dua beranak rentung treler dipandu bapa rempuh belakang treler muatan kapas

IPOH, 18 MAC: Dua beranak rentung selepas treler sarat dengan muatan pasir dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lagi treler yang sarat dengan muatan kapas lalu terbakar dalam kemalangan di Kilometer 331.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pusat operasi menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan pada 7.46 pagi.

Beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dihantar ke lokasi kejadian dan tiba pada 7.57 pagi.

"Komander operasi melaporkan bahawa kemalangan membabitkan treler muatan pasir yang melanggar bahagian belakang treler muatan kapas. Pemandu lelaki treler muatan pasir yang berusia lingkungan 40-an, didapati tersepit dalam kenderaan yang rentung.

"Seorang lagi mangsa iaitu anak lelaki kepada pemandu, berusia lingkungan 20-an turut ditemui rentung dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.