ad
AGENDA

Sesi rakam keterangan Ismail Sabri ditangguh ke esok

18 Mac 2025, 3:57 AM
Sesi rakam keterangan Ismail Sabri ditangguh ke esok

PUTRAJAYA, 18 MAC: Sesi merakam keterangan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram ditangguhkan pada esok.

Menurut sumber SPRM, hal itu kerana Ismail Sabri tidak dapat hadir hari ini, namun sebabnya tidak dijelaskan.

"Tukar kepada esok … waktu belum ditetapkan," kata sumber itu dengan ringkas.

Pengamal media berkampung di luar SPRM seawal 9 pagi untuk mengikuti perkembangan Ismail Sabri yang sepatutnya hadir di SPRM untuk memberi keterangan buat kali kelima.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya, dan terdapat banyak lagi perkara yang perlu diajukan kepada bekas perdana menteri itu.

Pada 3 Mac lalu, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house, hasil serbuan SPRM.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.