SHAH ALAM, 17 MAC: Tourism Selangor menyasarkan peningkatan 25 peratus pelancong dari China ke negeri ini sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Chua Yee Ling berkata China kekal sebagai pasaran utama bagi Selangor dengan rekod 352,001 pelancong ke negeri ini pada 2023 diikuti 384,811 (September 2024).
“China sentiasa menjadi pasaran utama bagi industri pelancongan Selangor. Justeru, kita jangka peningkatan sehingga 25 peratus pelancong ke negeri ini tahun ini.
“Antara destinasi kegemaran pelancong China di Selangor adalah Petaling dan Hulu Langat yang terkenal dengan tarikan bandar, percutian berasaskan alam semula jadi dan pengalaman unik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
[caption id="attachment_681795" align="alignleft" width="357"] Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Yee Ling berkata pihaknya juga melancarkan video promosi TMS2025 menerusi Misi Jualan ke China di empat bandar utama di negara tersebut iaitu Kunming, Chengdu, Qingdao dan Zhengzhou dari 8 hingga 18 Mac ini.
Jelasnya, sepanjang misi jualan Tourism Selangor bekerjasama dengan lebih 200 pembeli di setiap bandar, 60 penjual dari Malaysia, menerusi mesyuarat perniagaan, perbincangan kerajaan antara kerajaan serta kolaborasi media.
Tambahnya, pelancaran rasmi video promosi TMS2025 bagi pasaran China menandakan pencapaian penting dalam usaha mempromosi Selangor di peringkat antarabangsa.
“Video promosi TMS2025 mengetengahkan keindahan bandar moden, pantai, destinasi eko-pelancongan mencabar dan kepelbagaian kulinari yang terdapat di Selangor.
“Pelancong China boleh menonton video berkenaan dalam bahasa Cina menerusi platform media sosial popular seperti Weibo, Xiaohongshu dan Facebook,” katanya.
Mengulas lanjut, Yee Ling berkata beberapa lawatan suai kenal (FAM Trip) akan dianjur sepanjang tahun ini bagi memberi ejen pelancongan merasai sendiri pengalaman unik di Selangor.
“Menerusi kempen pemasaran bersama, promosi digital dan tawaran pakej eksklusif, Selangor bersedia mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan utama sekali gus menjadi pembuka tirai kepada Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
[caption id="attachment_691886" align="aligncenter" width="1032"] Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling (lima, kanan) bersama delegasi Malaysia Inbound Chinese Association (MICA). Foto Tourism Selangor[/caption]
[caption id="attachment_691887" align="aligncenter" width="1168"] Delegasi Tourism Malaysia dan Tourism Selangor ketika sesi suai kenal bersama pemain industri pelancongan di China. Foto Tourism Selangor[/caption]