SABAK BERNAM, 16 MAC: Sejumlah RM140,000 diperuntukkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan sempena Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
Wakil rakyatnya Dato’ Ng Suee Lim berkata jumlah itu melibatkan sumbangan Ihya’ Ramadan berjumlah RM30,000 untuk diagih kepada 25 masjid dan surau.
“Lima masjid akan menerima RM2,000 manakala 20 surau diberi RM1,000 yang mana jumlah wang ini kita tingkatkan sedikit berbanding tahun sebelum.
“Tidak timbul isu wakil rakyat Cina tidak bantu orang Islam sebaliknya kita perlu melangkaui semua kaum termasuk menjaga hal ehwal Islam mahupun bukan Islam.
“Kita harap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pihak pengurusan rumah ibadat dalam mengimarahkan program Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Mangsa Ribut dan Penyerahan Sumbangan Surau dan Masjid di Dewan Seri Sekinchan di sini semalam.
Dalam pada itu, Suee Lim berkata sempena Aidilfitri DUN Sekinchan turut mengagihkan 550 baucar Jom Shopping kepada keluarga berpendapatan rendah dengan jumlah keseluruhan RM110,000.
“Pemberian baucar dibuat pada 18 Mac ini bagi memudahkan penerima membeli-belah dalam membuat persiapan sambutan Aidilfitri,” katanya
Sempena Aidilfitri ini, sebanyak 36,350 baucar bernilai RM200 yang melibatkan peruntukan lebih RM7.2 juta bakal diagih kepada keluarga berpendapatan rendah negeri ini.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM12 juta yang disediakan bagi membantu keluarga kurang mampu untuk menyambut perayaan utama termasuk Tahun Baharu Cina dan Deepavali.