SHAH ALAM, 15 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat lebih RM11 juta daripada tujuh syarikat termasuk tiga anak syarikat Kerajaan Negeri.
Zakat itu dikeluarkan KDEB Waste Management berjumlah RM1.17 juta serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd masing-masing bernilai RM1 juta.
Selain itu, Pintas Utama Sdn Bhd bernilai RM3 juta, Rafulin Holdings Sdn Bhd (RM2.15 juta), Sime Darby Property Berhad (RM2 juta) dan MAHSA Universiti (RM1.32 juta).
Sultan Sharafuddin berkenan menerima bayaran zakat tersebut ketika berangkat ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong di sini, hari ini.
[caption id="attachment_691695" align="alignnone" width="812"] DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada asnaf sempena majlis berbuka puasa di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam Selangor pada 15 Mac 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Keberangkatan tiba Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 478 asnaf, fakir miskin dan mualaf daerah Petaling berjumlah RM239,000.
Baginda turut berkenan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih bersama asnaf dan rakyat di masjid tersebut.
Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong yang juga Masjid Diraja dirasmikan Sultan Sharafuddin pada Mac 2013 dengan kos pembinaan bernilai RM25.5 juta.
[caption id="attachment_691693" align="alignnone" width="836"] DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada asnaf sempena majlis berbuka puasa di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam Selangor pada 15 Mac 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed dalam sembah ucapannya berkata pembangunan pesat di Petaling menyumbang kepada peningkatan hasil dipungut Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.
“Tahun lalu, kutipan hasil mencecah RM660 juta meliputi premium tanah, cukai tanah dan cukai petak. Kutipan premium tanah sebanyak RM449.9 juta iaitu pencapaian 370 peratus.
“Selain itu, pelbagai usaha pembasmian kemiskinan dilaksanakan Kerajaan Negeri dan Persekutuan merangkumi peningkatan kemudahan asas, pemberian bantuan dan program latihan kemahiran untuk golongan berpendapatan rendah melalui Iltizam Selangor,” katanya.