Oleh Suhaila Shahrul Annuar dan Muhammad Haziq Roshidi
HULU LANGAT, 15 MAC: Dana kira-kira RM6.1 juta lagi diperlukan bagi menyiapkan pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah, Klang.
Pengerusinya Tan Sri Mazlan Mansor berkata sejumlah RM10.9 juta dana berjaya dikumpul, dengan kemajuan pembinaan kompleks tersebut mencapai 64 peratus setakat 12 Mac.
Menurutnya, kompleks yang dijangka siap sepenuhnya penghujung Januari tahun depan berperanan sebagai pusat pemerkasaan pendidikan, pembentukan sahsiah unggul serta pembangunan kemahiran anak yatim.
“Yide menyeru semua pihak untuk terus memberikan sokongan padu agar inisiatif ini dapat direalisasikan secara menyeluruh sekali gus melahirkan generasi anak yatim berwawasan, berakhlak mulia serta berdaya maju dalam kehidupan mereka kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan sempena majlis serahan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim di Masjid Al-Azim, Pandan Indah di sini, hari ini.
Mazlan sebelum ini memaklumkan, kos keseluruhan pembinaan kompleks itu dianggarkan sekitar RM17 juta, yang bakal menempatkan sekitar 200 anak yatim dengan fasiliti kondusif seperti asrama, surau, dewan serbaguna, pusat komersial dan gelanggang permainan.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan serahan sumbangan Aidilfitri secara bersemuka kepada 634 anak yatim daerah Hulu Langat berjumlah RM95,100.
Ia adalah sebahagian daripada peruntukan keseluruhan berjumlah RM306,900 yang diperuntukkan untuk 2,046 anak yatim daerah Hulu Langat bagi sumbangan Aidilfitri, tahun ini.
Orang ramai boleh berinfaq untuk pembinaan kompleks tersebut melalui pautan yide.com.my/infaq-kompleks-anak-yatim/.