SHAH ALAM, 14 MAC: Mahkamah Sesyen Sepang memerintahkan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman membela diri atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan terhadap usahawan kosmetik berkenaan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes, lapor Berita Harian.
Dalam penghakimannya, Ahmad Fuad berkata video itu dimuat naik dengan niat menyakiti hati orang lain ketika Ramadan, bulan di mana umat Islam berpuasa dan harus dihormati.
"Makan di khalayak ramai di bulan puasa juga tidak sopan, apatah lagi memuat naik hantaran video di bulan puasa dengan menari liuk lentuk dan berpakaian wanita, ia tetap tidak sopan," katanya.
Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan memuat naik video di Instagram aliffsyukriterlajaklaris, dengan niat menyakiti hati orang lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya, dekat sini, pada 24 April 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan selepas pensabitan.
Sebelum ini, klip video muzik lagu raya nyanyian usahawan itu dikritik warganet kerana ia didakwa mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan penari lelaki lembut.