ad
BERITA UTAMA

Dua keadaan ijtihad sahabat Rasulullah apabila ketiadaan nas

14 Mac 2025, 4:00 AM
Dua keadaan ijtihad sahabat Rasulullah apabila ketiadaan nas

Apabila tiada satu ayat atau hadis terhadap sesuatu perkara, pendekatan yang dibenarkan dalam Islam adalah ijtihad. Dalam hadis, ada disebutkan Rasulullah mengakui ijtihad Mu‘az dalam perkara yang tidak terdapat nas sama ada daripada Allah atau Rasul-Nya.

Diriwayat daripada sekumpulan sahabat Mu‘az ketika Rasulullah mengutusnya ke Yaman, Baginda bertanya:

"Bagaimanakah engkau akan memutuskan sesuatu perkara yang dihadapkan kepadamu?"

Mu‘az menjawab: "Aku akan memutuskan berdasarkan Kitab Allah."

Baginda bertanya lagi: "Jika engkau tidak menemui dalam Kitab Allah?"

Mu‘az menjawab: "Aku akan berpegang kepada Sunnah Rasulullah."

Baginda bertanya: "Jika engkau tidak menemui dalam Sunnah Rasulullah?"

Mu‘az menjawab: "Aku akan berijtihad dengan pendapatku sedaya upayaku."

Maka Rasulullah menepuk dada Mu‘az dan bersabda: "Segala puji bagi Allah yang memberi taufik kepada utusan Rasulullah untuk melakukan sesuatu yang diredai oleh Rasulullah."

Walaupun tidak disebutkan nama murid-murid Mu‘az, mereka dalam kalangan umat Islam terkemuka, terbaik dan dikenali dengan ilmu, agama serta keutamaan mereka yang jelas dan tidak tersembunyi. Tiada seorang pun dalam kalangan mereka dipertikai kepercayaannya.

Para ulama meriwayatkan hadis ini dan berhujah dengannya mengenai keharusan ijtihad para sahabat semasa hayat Rasulullah dalam perkara yang tidak ada nas al-Quran atau sunnah.

Terdapat juga peristiwa para sahabat berijtihad pada zaman nabi. Ada berlaku ketika ketiadaan Baginda, juga di hadapan Baginda tetapi Baginda tidak mencela mereka atas ijtihad tersebut.

Ketika ketiadaan Rasulullah

Terdapat banyak peristiwa para sahabat berijtihad ketika Rasulullah tidak hadir antaranya:

Pertama, peristiwa solat Asar pada Hari Perang Ahzab:

Rasulullah pernah bersabda kepada para sahabat pada hari Perang Ahzab: "Janganlah seorang pun antara kamu menunaikan solat Asar melainkan di Bani Quraizah." Hadis ini diriwayat al-Bukhari dan Muslim.

Sebahagian sahabat berijtihad dengan menunaikan solat Asar di tengah perjalanan apabila waktu solat masuk. Mereka berpendapat Rasulullah tidak bermaksud untuk melewatkan solat tetapi menghendaki mereka bersegera ke Bani Quraizah. Mereka memahami arahan tersebut dari segi maksudnya.

Sebaliknya, sebahagian sahabat lain memahami arahan tersebut secara literal, lalu mereka menangguhkan solat Asar hingga tiba di Bani Quraizah, meskipun mereka menunaikannya pada waktu malam.

Ibnu al-Qayyim, dalam kitab I‘lam al-Muwaqqi‘in, mengulas golongan pertama merupakan salaf bagi ahli yang memahami hukum berdasarkan makna dan qiyas manakala kelompok kedua adalah salaf bagi mereka yang berpegang kepada zahir lafaz.

Kedua, keputusan Ali bin Abi Talib dalam kes perebutan anak:

Ketika Saidina Ali berada di Yaman, tiga lelaki datang kepadanya, masing-masing mengaku bahawa seorang anak lelaki adalah anak mereka.

Saidina Ali kemudian bertanya kepada mereka satu per satu: "Adakah kamu rela jika anak ini diberi kepada salah seorang daripada kalian?" Mereka semua menolak.

Lalu, beliau berkata: "Kamu adalah kalangan yang suka berselisih."

Maka, beliau memutuskan untuk melakukan undian. Anak tersebut diberi kepada lelaki yang namanya keluar dalam undian manakala dua lelaki lain perlu menerima pampasan dua pertiga jumlah diyat (wang ganti rugi).

Apabila berita keputusan ini sampai kepada Rasulullah, Baginda tertawa hingga tampak gigi gerahamnya kerana kagum dengan keputusan Saidina Ali.

Dalam keputusan ini, Sayyidina Ali menganggap pihak yang menang dalam undian seolah-olah "menghilangkan hak" dua pihak lain. Sama seperti seseorang yang memusnahkan hamba yang dimiliki bersama dua rakannya, dia wajib membayar dua pertiga daripada nilai hamba tersebut kepada mereka. Oleh itu, pemilikan seorang anak yang merdeka melalui sistem undian dianggap sama seperti memusnahkan hamba yang dikongsi bersama.

Di hadapan Rasulullah

Ada juga peristiwa para sahabat berijtihad ketika berada di hadapan Rasulullah antaranya:

Pertama, keputusan Sa‘d bin Mu‘az terhadap Bani Quraizah:

Sa‘d bin Mu‘az berijtihad dan memberi keputusan terhadap Bani Quraizah di hadapan Rasulullah, dan Baginda mengesahkan keputusannya.

Menurut riwayat Abu Sa‘id al-Khudri, kaum Bani Quraizah menerima untuk diadili berdasarkan keputusan Sa‘d bin Mu‘az. Rasulullah kemudian mengutus seseorang untuk memanggilnya. Sa‘d datang dengan menunggang seekor keldai. Apabila beliau menghampiri masjid, Rasulullah bersabda: "Berdirilah untuk menghormati pemimpin kamu – atau orang yang terbaik antara kamu."

Sa‘d kemudian duduk di hadapan Rasulullah, lalu Baginda bersabda: "Mereka telah bersetuju untuk menerima keputusanmu."

Sa‘d berkata: "Aku menetapkan bahawa kaum lelaki mereka dibunuh manakala wanita dan anak-anak mereka dijadikan tawanan."

Maka Rasulullah bersabda: "Engkau telah menetapkan hukum sebagaimana hukum yang ditetapkan oleh Allah."

Dalam riwayat lain, Baginda bersabda: "Hari ini engkau telah menetapkan keputusan yang selari dengan hukum Allah yang ditentukan dari atas tujuh lapisan langit." (Hadis al-Bukhari dan Muslim)

Kedua, keputusan ‘Amr bin al-‘As dalam Pengadilan:

Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As bahawa dua orang yang bersengketa datang kepada Rasulullah untuk mengadu hal mereka. Baginda kemudian bersabda kepada ‘Amr bin al-‘As: "Berilah keputusan antara mereka, wahai ‘Amr."

Namun, ‘Amr menjawab: "Engkau lebih berhak untuk memberi keputusan daripada aku, wahai Rasulullah."

Baginda bersabda: "Walaupun begitu, engkau tetap boleh memutuskannya."

Lalu, ‘Amr bertanya: "Jika aku memberi keputusan antara mereka, apakah ganjaranku?"

Rasulullah menjawab: "Jika engkau memberi keputusan dengan benar, maka engkau memperoleh sepuluh pahala. Jika engkau berijtihad lalu tersilap, engkau tetap mendapat satu pahala." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.