SABAK BERNAM, 14 MAC: Bunyi dentuman kuat mengejutkan seorang warga emas yang sedang mengasuh dua bayi dalam kejadian ribut di Taman Ria, Sekinchan di sini, Selasa lalu.
Latifah Yusof, 60, yang berkongsi kejadian tersebut berkata beliau bergegas keluar dari ruang tamu hingga ke dapur untuk memeriksa bunyi seakan-akan letupan mercun tersebut.
Menceritakan detik cemas itu, ibu tunggal berkenaan memberitahu beliau berasa takut dan panik apabila bumbung rumahnya diterbangkan angin secara tiba-tiba dalam tempoh seminit.
“Saya bernasib baik kerana siling jatuh tidak terhempap pada kepala ketika kejadian di ruangan dapur hingga menangis serta mengalami depresi.
“Bencana ini juga menyebabkan kerosakan perabot seperti almari hingga terpaksa membuang semua pakaian. Ia kali pertama berlaku sejak tinggal di sini 40 tahun lepas,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_691408" align="alignnone" width="766"] Latifah Yusof melihat bumbung rumahnya yang rosak akibat ribut dalam kejadian di Taman Ria Tanjong Karang yang dirakam pada 13 Mac 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Seorang lagi mangsa, Abu Supian Bin Mohamad, 35, berkata beliau mengalami anggaran kerugian hingga RM10,000 susulan kerosakan bumbung, siling, pendawaian elektrik dan dinding.
[caption id="attachment_691410" align="alignleft" width="348"] Abu Supian Mohamad[/caption]
“Kejadian berlaku terlalu cepat pada sekitar jam 4 petang ketika saya sedang membuat kerja di rumah.
“Ribut puting beliung menghempas bahagian atap hingga musnah dalam tempoh dua minit,” jelasnya.
Pekerja swasta, Tham Si Yi, 30, memaklumkan kejadian menimpa rumahnya merupakan kali pertama berlaku sejak 30 tahun menetap di kawasan itu.
[caption id="attachment_691411" align="alignright" width="342"] Tham Sin Yi[/caption]
“Ketika kejadian saya di luar bekerja, namun melihat tular di Facebook terus bergegas pulang hingga melihat rumah ditenggelami air dan atap rosak,” ujarnya.
Terdahulu tular video di media sosial memaparkan bumbung kediaman penduduk diterbangkan ribut dan air hujan memasuki rumah mereka.
Selangor mengaktifkan pusat pemindahan sementara di Dewan Seri Sekinchan bagi menempatkan penduduk terjejas kejadian ribut kencang tersebut.