ad
AGENDA

Tiga penjenayah berbahaya warga asing ditembak mati di Sepang

14 Mac 2025, 1:37 AM
Tiga penjenayah berbahaya warga asing ditembak mati di Sepang

SHAH ALAM, 14 MAC: Tiga penjenayah warga asing yang aktif melakukan 17 kes samun dan pecah rumah di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur ditembak mati di Sepang, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman berkata suspek ditembak selepas cuba menyerang polis dengan parang ketika cubaan pihaknya menahan mereka, lapor Berita Harian.

Menurut Datuk Fadil Marsus, penjenayah berusia antara 35 hingga 40 tahun yang dikategori ganas dan berbahaya itu cuba menyamun sebuah kediaman di kawasan perumahan berhampiran di Desa Vista.

"Suspek ini dikesan selepas alat penggera keselamatan sebuah rumah yang menjadi sasaran kumpulan jenayah ini berbunyi sebelum pemiliknya menyedari kelibat individu bersenjata parang dan bertopeng.

"Menyedari kehadiran mereka (suspek) disedari pemilik rumah, suspek melarikan diri bersembunyi di kawasan hutan berhampiran sebuah tangki air.

"Pada masa sama, pemilik rumah telah menghubungi polis sebelum semua elemen Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) digerakkan untuk mengesan suspek secara serta-merta," katanya.

Fadil menambah hasil maklumat orang ramai dan risikan, suspek dikesan di kawasan hutan dan cuba menyerang pasukan polis sehingga pihaknya terpaksa melepaskan tembakan bagi tujuan mempertahankan diri.

Menurut beliau lagi, penjenayah berkenaan tidak teragak-agak mencederakan mangsa yang cuba melawan mereka.

"Sebagai contoh dalam kes samun di Sungai Buloh, mangsa samun kumpulan ini cedera ditetak selepas dikatakan cuba melawan mereka.

"Berdasarkan maklumat risikan kita (polis) kumpulan penjenayah ini dipercayai terdiri daripada lima individu dan kami sedang mengesan saki-baki mereka," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.