ad
AGENDA

Semak status miskin tegar tiap 6 bulan, pastikan keluarga susah dibantu

13 Mac 2025, 3:38 PM
Semak status miskin tegar tiap 6 bulan, pastikan keluarga susah dibantu

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan Negeri memantau status miskin tegar setiap enam bulan bagi memastikan rakyat dalam kategori berkenaan mendapat bantuan.

Dato’ Menteri Besar berkata meski berjaya menoktah miskin tegar pada Julai tahun lalu, namun pentadbiran tetap mengambil langkah selanjutnya demi​ kesejahteraan penduduk.

“Saya maklumkan kepada perdana menteri tadi. Seawal Julai, Ogos tahun lalu kita dah hapuskan miskin tegar. Kita tidak selesa setakat itu.

“Setiap enam bulan kita tengok balik ada tak (keluarga) yang jatuh balik (miskin tegar). Kalau jatuh, negeri, Lembaga Zakat Selangor, Sumbangan Tunai Rahmah akan disalurkan ke bawah.

“Ini semua usaha berterusan yang dilakukan melibatkan persekutuan, kabinet dan barisan negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari berucap di Majlis Berbuka Puasa Madani dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, majlis turut disertai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan barisan kepimpinan negeri.

Pada Julai tahun lalu, Selangor berjaya mencapai sasaran menoktahkan miskin tegar hasil kerjasama pelbagai pihak dan agensi berkaitan.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan sasaran asal dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi menghapus miskin tegar menjelang 2025, namun disingkatkan pada tahun ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk membasmi kemiskinan menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat.

Pada masa sama, Kerajaan Perpaduan turut memperuntuk RM1.5 bilion dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12 untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.