ad
AGENDA

Pemimpin masyarakat usah terlalu bergantung dana kerajaan bantu rakyat susah

13 Mac 2025, 2:19 PM
Pemimpin masyarakat usah terlalu bergantung dana kerajaan bantu rakyat susah

SHAH ALAM, 13 MAC: Pimpinan masyarakat disaran menggunakan peruntukan sendiri bagi membantu golongan memerlukan sempena Ramadan ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan berkenaan tidak seharusnya hanya bergantung kepada peruntukan disedia kerajaan semata.

“Ini berkait dimensi sosial. Manusia, kemanusiaan, ehsan. (Kita) Puasa, tak makan, minum lapar, dahaga tapi kita tak ambil tahu mengenai jiran tetangga dan orang susah sekeliling kita.

“Kalau ada pun (bantuan) peruntukan kerajaan, jabatan atau melalui CSR (tanggungjawab sosial korporat) dan bukannya melalui gaji atau elaun kita sendiri.

“Ada masa setengah bulan ini untuk salur sumbangan peribadi, gaji, elaun dan ini akan tunjukkan adanya makna Ramadan,” katanya berucap di Majlis Berbuka Puasa Madani bersama pimpinan masyarakat tempatan negeri hari ini.

Berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, majlis turut disertai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam masa sama, Anwar turut menegur sesetengah pemimpin dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas apabila terlalu banyak mempertikai atau membantah sehingga sesuatu rancangan tidak berhasil.

“Kalau kita hendak selamatkan bangsa dan negara, kita mesti berani ambil tindakan walaupun tidak disenangi oleh semua pihak.

“Kalau hendak dengar celoteh mereka, sampai bila tak boleh jadi kerja. Semua dibuat tak betul. Suruh dia buat, dia tak buat. Bagi peluang mereka memerintah, langsung tak buat,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.