SHAH ALAM, 13 MAC: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan bekalan beras putih tempatan (BPT) sudah berada dalam pasaran di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini bekalan beras di pasaran adalah terkawal dan mengikut jadual, lapor Berita Harian.
"Untuk bekalan beras tempatan, ia sudah berada dan sedang masuk di dalam pasaran. Itu yang kita usahakan dan ia mengikut jadual yang ditetapkan.
"Masalah makanan dalam dunia ini sampai kiamat pun tidak selesai, namun ini adalah penyelesaian sementara yang kita buat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Bersama Warga KPKM, di Kota Bharu, Kelantan yang turut dihadiri, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad.
Sebelum ini media melaporkan, bekalan BPT bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) dijangka berada di pasaran sepenuhnya dalam minggu ini.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras KPKM, Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata ketika ini proses pengedaran daripada kilang, pemborong hingga kepada peruncit sedang berjalan.