ad
ADN

300 penduduk DUN Seri Setia terima bantuan makanan, duit raya

13 Mac 2025, 12:01 PM
300 penduduk DUN Seri Setia terima bantuan makanan, duit raya

PETALING JAYA, 13 MAC: Seramai 300 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menerima bantuan bakul makanan dan duit raya di Masjid Al-Islamiah Kampung Lindungan di sini, hari ini.

Wakil rakyatnya Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata sumbangan menerusi program Cahaya Ramadan itu merupakan inisiatif Yayasan TM dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM69,000.

“Terima kasih kepada Yayasan TM kerana memilih DUN Seri Setia dan memberi sumbangan berupa bakul makanan, duit raya dan bubur lambuk kepada penduduk di sini.

“Kita amat mengalu-alukan sumbangan seperti ini daripada mana-mana syarikat korporat, agensi dan badan bukan kerajaan, semoga inisiatif ini diteruskan lagi pada masa akan datang sekali gus meringankan beban penerima,” katanya.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bakul makanan Cahaya Ramadan Yayasan TM 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Negeri TM One Meor Shahril Anwar berkata program Cahaya Ramadan Yayasan TM itu kali ketiga dianjurkan tahun ini bertujuan memberi kegembiraan dan membantu golongan memerlukan.

“Program ini juga menjadi platform bagi sukarelawan TM menjalankan aktiviti kebajikan dan pada masa sama berpeluang mendekatkan diri dengan masyarakat,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.