ad
AGENDA

Dakwaan kes rasuah, Ismail Sabri beri keterangan di SPRM Putrajaya

13 Mac 2025, 5:54 AM
Dakwaan kes rasuah, Ismail Sabri beri keterangan di SPRM Putrajaya

PUTRAJAYA, 13 MAC: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.

Kenderaan membawa Ismail Sabri memasuki pekarangan pejabat SPRM pada 9.46 pagi.

Rakaman percakapan Ismail Sabri sepatutnya diambil pada 7 Mac lepas, namun ditangguhkan ke hari ini atas faktor kesihatan.

Sebelum itu, perdana menteri kesembilan itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta selepas rebah di rumahnya pada 21 Feb lepas.

Pada 3 Mac lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safe house susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Wang tunai itu dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya baht, riyal, pound sterling, won, euro, Franc Swiss dan yuan manakala 16 kilogram jongkong emas tulen yang turut disita dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.

-- BERNAMA

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.