ad
BERITA UTAMA

Dari naik bas kendong sayur, usahawan Orang Asli raih RM20,000 sebulan

13 Mac 2025, 4:00 AM
Dari naik bas kendong sayur, usahawan Orang Asli raih RM20,000 sebulan
Dari naik bas kendong sayur, usahawan Orang Asli raih RM20,000 sebulan
Dari naik bas kendong sayur, usahawan Orang Asli raih RM20,000 sebulan
Dari naik bas kendong sayur, usahawan Orang Asli raih RM20,000 sebulan
Dari naik bas kendong sayur, usahawan Orang Asli raih RM20,000 sebulan

Tekad untuk membawa keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan, wanita Orang Asli Sana Yusoff mengerah keringat berbakti kepada tanah sejak usia belasan tahun.

Bermula pucuk ubi, pucuk meranti dan pisang yang ditanam sendiri di tanah seluas setengah ekar, tanaman itu dibawa menaiki bas untuk dijual kepada rakan sekerja di kilang sarung tangan.

Hasil kudrat tulang empat kerat, anak sulung dari sembilan beradik itu meraih pendapatan sekitar RM20,000 sebulan. Beliau juga memiliki lebih lima ekar tanah selain aset lain.

Kejayaan itu bukan datang bergolek. Wanita berusia 48 tahun itu pernah menanggung kerugian hampir RM50,000 apabila ladang dan rumahnya dilanda banjir besar pada Disember 2021.

Tidak patah semangat, ibu kepada lima cahaya mata bangkit semula. Kegigihan jadi asbab wanita cekal itu dinobat Usahawan Orang Asal Terbaik Anugerah Hijrahpreneur Awards 2024.

[caption id="attachment_691289" align="aligncenter" width="859"] Sana Yusoff (kanan) bersama suami Hasan Bolet dan anak mereka, Vanessa Hasan ketika berniaga di pasar malam Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor pada 14 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Kehidupan keluarga Sana kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bapanya cuma mencari hasil hutan dan mengambil upah untuk menyara keluarga. Ibunya suri rumah. Tidak seperti kebanyakan rakan sebaya, beliau yang cuma tamat sekolah rendah mula bekerja pada usia 14 tahun.

"Saya mula pandai tanam ubi sejak umur 10 tahun lagi tetapi mula-mula sedikit, cuma untuk kegunaan sendiri sahaja. Jadi, walaupun susah macam mana pun makanan tetap ada.

"Adik-beradik ramai, sembilan orang. Dalam fikiran saya sebagai anak sulung tidak mahu adik-adik lapar. Dan sekarang (tidak mahu) anak-anak hidup susah seperti saya," katanya.

Mula berniaga

Sejak bekerja di kilang sarung tangan getah di Olak Lempit, Kuala Langat, anak jati Kampung Orang Asli Bukit Tadom itu berniaga kecil-kecilan menjual pucuk meranti, pucuk ubi dan pisang.

"Setiap hari pergi kerja naik bas kendong bungkusan sayur dan pisang. Penat memang penat tetapi habis sebab saya jual murah, 50sen seikat," katanya dalam program Bicara Semasa di Media Selangor pada 20 Januari.

Sana kemudian berhenti kerja untuk berniaga sepenuh masa pada 2002. Berbekal motor hasil simpanan untung niaga dicampur sisa gaji, beliau berjualan di pasar petang dan pasar tani. Jika tidak habis, beliau sambung dari rumah ke rumah.

Ubi kayu, pisang, keladi, keledek dan sayur-sayuran, semuanya ditanam sendiri. Sambutan galak lantaran rata-rata tanaman itu dijual pada harga rendah berbanding pasaran.

[caption id="attachment_691290" align="aligncenter" width="926"] Sana Yusoff berniaga di pasar malam Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor pada 14 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Cabaran mula berniaga adalah modal dan tiada kenderaan. Mula-mula pakai motosikal, bakul diberi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama). Lepas itu, pakai gerabak, kereta dua buah, van dan sekarang dah ada lori beli secara tunai," katanya.

Sejak lulus pembiayaan Yayasan Hijrah Selangor pada 2017, perniagaan Sana kian berkembang. Pertama kali, RM10,000. Ekoran rekod bayaran semula baik, beliau ditawarkan pinjaman lagi.

"Selepas itu RM50,000 sebanyak tiga kali. Jadi, empat kali buat pinjaman. Saya guna beli anak benih dan tanah. Rezeki saya dapat beli tanah yang ada hasil seperti petai," katanya.

Sana juga mempelbagai tanaman antaranya kelapa sawit, petai, buah-buahan tempatan seperti durian, cempedak dan manggis. Purata pendapatan bersih beliau naik kepada kira-kira RM20,000 sebulan, bergantung kepada musim dan harga semasa pasaran sawit.

"Pendapatan sawit ada naik turun tetapi tetap setiap bulan ada hasil. Kalau tanaman lain seperti durian dan petai ada musim baru ada hasil.

"Sekarang berniaga di pasar tani, pasar pagi, pasar malam setiap hari. Kalau musim durian, saya boleh jual sehari satu tan. Durian tembaga semua ada. Petai, jering juga ada," katanya.

Namun, beliau tidak terlepas dari pancaroba. Dugaan terbesar apabila banjir besar pada Disember 2021 menenggelami tanaman dan rumahnya. Sana menganggar kerugian hampir RM50,000.

Perabot dan peralatan elektrik seperti peti ais bersaiz besar bernilai RM30,000 untuk menyimpan barangan niaga rosak. Tanaman termasuk anak kelapa sawit yang baru dibeli juga musnah. Beliau kerugian lagi RM20,000.

"Nasib baiklah saya masih ada hasil kebun sawit yang terselamat. Jadi kita boleh pusing modal," katanya yang dibantu lima pekerja terdiri ahli keluarga.

Pada masa ini, Sana merancang untuk menambah aset perniagaan seperti lori dan tanah bagi memajukan lagi perniagaannya.

[caption id="attachment_691291" align="aligncenter" width="1069"] Sana Yusoff melayan pelanggan di pasar malam Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor pada 14 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

[caption id="attachment_691293" align="aligncenter" width="934"] Pisang antara buah-buahan yang dijual Sana Yusoff di pasar malam Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor pada 14 Februari 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.