ad
AGENDA

Penjenayah panik tinggalkan Vios lepas sedar ada budak dalam kereta

13 Mac 2025, 2:08 AM
Penjenayah panik tinggalkan Vios lepas sedar ada budak dalam kereta

SHAH ALAM, 13 MAC: Seorang lelaki meninggalkan Toyota Vios yang baru dicuri di tepi sebuah tadika di Setia Alam, semalam selepas menyedari terdapat seorang budak perempuan enam tahun dalam kereta itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata terdahulu polis menerima panggilan jam 7 pagi memaklumkan seorang wanita kehilangan kereta dengan anak perempuannya turut berada dalam kenderaan itu.

Dalam kejadian jam 6.55 pagi, ibu kanak-kanak terbabit yang berusia 34 tahun menghantar anak keduanya ke sebuah tadika dan meninggalkan anak sulung yang sedang tidur dalam kereta dengan enjin masih hidup serta pintu tidak berkunci.

"Selesai menghantar anak kedua, wanita itu menyedari keretanya sudah tiada dipercayai dicuri bersama anaknya yang masih berada dalamnya.

"Usaha mengesan kereta dan kanak-kanak itu dijalankan dan dengan bantuan orang awam, pada jam 7.45 pagi, anak mangsa dijumpai semula dengan kereta yang dicuri berdekatan kawasan perumahan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

Siasatan mendapati suspek adalah seorang lelaki tempatan dan dipercayai ingin mencuri kereta berkenaan tanpa menyedari ada budak dalam kenderaan itu.

"Suspek dipercayai terkejut mendengar kanak-kanak itu menangis dan terus memberhentikan kereta sebelum melarikan diri," katanya.

Suspek bagaimanapun mengambil beg tangan milik mangsa yang mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri serta dua unit telefon bimbit bernilai RM2,000.

"Usaha mengesan suspek masih dijalankan. Mereka yang ada maklumat boleh hubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.