ad
AGENDA

Remaja hilang di Shah Alam ditemui selamat di Kuala Terengganu

13 Mac 2025, 12:28 AM
Remaja hilang di Shah Alam ditemui selamat di Kuala Terengganu

SHAH ALAM, 13 MAC: Remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Seksyen 20 di sini, Ahad lalu ditemukan selamat di rumah rakannya di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata mangsa yang keluar dari rumah pada 8 pagi, Ahad menaiki bas di Seksyen 20 ke stesen bas di Bukit Jalil.

“Mangsa yang tiada hala tuju menumpang tidur di Surau Darul Bukit Jalil untuk dua malam sebelum mengambil keputusan ke rumah kawan lelakinya yang dikenali melalui Facebook, di Kuala Terengganu dengan menaiki bas.

“Setelah sampai di Terengganu, kawan mangsa terus menghubungi keluarga remaja itu memberitahu mangsa telah sampai di Kuala Terengganu berikutan ahli keluarganya ada memaklumkan mangsa lari dari rumah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata keluarga kawan mangsa kemudiannya terus membawa remaja itu ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk membuat laporan polis dan siasatan lanjut mendapati mangsa keluar dari rumah kerana merajuk selepas dimarahi ibu bapanya.

“Pada 5.11 petang tadi (semalam), ahli keluarga mangsa tiba mengambil mangsa di Kuala Terengganu dalam keadaan selamat untuk pulang ke Shah Alam,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.