HULU SELANGOR, 12 MAC: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menghulurkan sumbangan RM10,000 kepada Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.
Sumbangan disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada pengurus masjid berkenaan Mohd Zulfeikry Zakaria selaku wakil penerima.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban pihak pengurusan masjid dalam menganjurkan program sepanjang Ramadan.
“Kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak masjid mengimarahkan lagi rumah ibadat ini dengan pelbagai program bermanfaat,” katanya ketika ditemui di sini.
Menerusi program Ihya’ Ramadan yang berlangsung satu hari di Hulu Selangor hari ini, Amirudin juga dijadual menziarahi tiga buah rumah asnaf menerusi siri Ziarah Kasih.
Selain itu, beliau turut dijadual melawat ke Bazar Ramadan Tapak Penjaja Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung bagi pelancaran program Bazar Ramadan Mampan 2025 dan Kempen Bebas Beg Plastik serta agihan bubur lambuk.
Ihya’ Ramadan itu diakhiri dengan Majlis Berbuka Puasa bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama rakyat di Masjid Saidina Ali, Rawang.