KUALA LUMPUR, 12 MAC: Pemain skuasy negara Rachel Arnold mempamerkan kebangkitan mengagumkan dalam pusingan pertama Terbuka Australia 2025 apabila bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan Nour Heikal dari Mesir di South Bank Piazza, Brisbane.
Nour, 21, memulakan saingan dengan penuh bertenaga bagi mengejutkan Rachel untuk mendahului dua set awal hasil kemenangan 11-7 dan 11-9.
Bagaimanapun, atlet Malaysia itu bangkit mempamerkan aksi penuh dominan, memenangi tiga set berikutnya 11-5, 11-6 dan 11-4 untuk memastikan mara ke pusingan kedua.
“Saya agak gugup. Saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang, tetapi cukup berpuas hati dengan prestasi selepas itu.
“Saya senang hati mereka dapat mengatur semula acara ini (ditangguhkan sehari akibat Siklon Tropika Alfred) dan saya juga cukup gembira gelanggang kaca digunakan di sini. Saya rasa ini akan menjadi medan pertarungan yang baik untuk semua orang di Brisbane,” katanya melalui kenyataan PSA Squash Tour hari ini.
Rachel akan bertemu Rowan Elaraby dari Mesir pada pusingan kedua esok, dengan pemain nombor 19 dunia itu mempunyai rekod 3-3 dalam aksi antara kedua mereka.
Sementara itu, Ainaa Amani dan Aira Azman dari Malaysia mengalami nasib berbeza selepas tersingkir dalam perlawanan masing-masing.
Ainaa tewas kepada Marina Stefanoni dari Amerika Syarikat (AS) dengan keputusan 9-11, 3-11, 8-11 dalam saingan selama 28 minit, manakala Aira menentang Nicole Bunyan dari Kanada dalam pertarungan lima set sebelum tewas 9-11, 11-9, 11-4, 7-11, 8-11.
-BERNAMA