SHAH ALAM, 11 MAC: Selangor dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memeterai kerjasama strategik bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja melalui Jelajah Wanita MyWira.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata Selangor dipilih sebagai negeri pertama melaksana program berkenaan yang diperkenalkan Kesuma pada tahun lalu.
“Tahun ini kita akan mulakan program Wanita MyWira secara menyeluruh. Bermula di Selangor dan kita akan sambung dengan negeri-negeri lain pula selepas ini.
“Menerusi Wanita MyWira, kita akan perkenalkan pelbagai insentif untuk menarik wanita kembali bekerja, dan di Selangor kita sasar penglibatan 1.4 juta wanita,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, Steven dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Pertukaran MoU disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Faridah Samad manakala Talent Corp diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Thomas Mathew di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Jelajah Wanita MyWira bakal menyedia sesi libat urus, pembangunan kemahiran selain menghubungkan wanita dengan peluang pekerjaan baharu dan insentif tenaga kerja.
Jelajah berkenaan dijadual bermula pada April hingga November depan membabitkan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
Kesuma melancarkan program Wanita MyWira pada Mac tahun lalu dengan sasaran penglibatan wanita dalam tenaga kerja sehingga 60 peratus, selaras keperluan ekonomi Madani.