SHAH ALAM, 11 MAC: Lima pakej pelancongan eksklusif khas untuk pasaran Eropah yang mengetengahkan keunikan Selangor dilancarkan dalam pameran pelancongan terkemuka dunia, ITB Berlin 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor berkata diperkenalkan di bawah pakej Selangor: Surprisingly Unique Experiences, ia memberi peluang eksklusif kepada pelancong dari Eropah untuk menikmati pengalaman unik di Selangor.
Jelas Chua Yee Ling, pelancong berpeluang meneroka keunikan tradisi tempatan, pelancongan pengembaraan dan pelancongan eko menerusi pakej Authentically Unique Banting dan kelas memasak masakan Malaysia di Cheras.
[caption id="attachment_681795" align="alignleft" width="500"] Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Selain itu meneroka keindahan Kuala Selangor, panorama indah Sabak Bernam dan kehidupan kampung di Hulu Langat.
“Pelancaran ini berlangsung di Pavilion Selangor di bawah naungan Tourism Malaysia, bagi mempromosi Selangor sebagai destinasi bertaraf dunia.
“Inisiatif ini dilaksana melalui kerjasama strategik bersama Dusky Leaf Adventures iaitu pengendali pelancongan berpengalaman dalam membangunkan pakej pengalaman melancong yang asli dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Yee Ling, pelancaran itu juga selari kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) bertemakan Surprising Selangor, bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dengan mengetengahkan keunikan keindahan alam semula jadi, warisan budaya serta landskap bandar yang dinamik.
“Usaha ini mengukuhkan komitmen Selangor memperluas pengaruhnya di peringkat global serta mewujudkan hubungan erat dengan pemain industri pelancongan Eropah,” katanya.
Katanya, sehingga September 2024, Selangor menerima kedatangan 139,131 pelancong Eropah dan pelancaran pakej khas itu disasar meningkatkan 20 peratus jumlah kehadiran pelancong dari benua itu ke Selangor, tahun ini.
[caption id="attachment_673493" align="aligncenter" width="1033"] Gombak Hulu Langat (GHL) Geopark bakal jadi tarikan pelancong pada Tahun Melawat Selangor 2025. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]
“Kerjasama dengan Dusky Leaf Adventures mencerminkan komitmen Selangor menyediakan pengalaman pelancongan berkualiti tinggi dan mendalam yang disesuaikan khas untuk pasaran Eropah.
“Kami yakin lima pakej ini akan menyerlahkan keunikan Selangor dan meningkatkan daya tarikan negeri ini kepada pelancong dari Eropah,” katanya.
Menurutnya, delegasi Selangor di ITB Berlin 2025 turut disertai pemain industri pelancongan utama, agensi pelancongan serta rakan kongsi daripada sektor hospitaliti dengan lebih 300 pembeli berpotensi dan ejen pelancongan.
“Melalui mesyuarat strategik, sesi perniagaan kepada perniagaan (B2B) serta acara jaringan kerjasama, Selangor berusaha mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah destinasi yang wajib dikunjungi,” katanya.
Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran lapan juta pengunjung ke Selangor tahun ini dengan catatan transaksi RM11.7 bilion sempena TMS2025.
TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk ekopelancongan, agro, seni dan budaya.
[caption id="attachment_632988" align="aligncenter" width="1075"] Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto Arkib SELANGORKINI[/caption]
[caption id="attachment_680127" align="aligncenter" width="1135"] Kumpulan agen pelancongan dari Thailand di bawa melihat helang ketika lawatan Anjung Utara di Pasir Penampang, Kuala Selangor pada 10 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]