KUALA SELANGOR, 10 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Raja Lumu di sini, hari ini.
Keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke Masjid Diraja kesembilan di Selangor itu diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Baginda berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM235,000 kepada 470 penerima terdiri daripada fakir seramai 128 orang, miskin (220) dan mualaf (122), dengan setiap seorang menerima RM500.
Sultan Sharafuddin turut berkenan berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih bersama rakyat di masjid berkenaan.
[caption id="attachment_690941" align="alignnone" width="812"] DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama rakyat dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid Raja Lumu, Kuala Selangor pada 10 Mac 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Masjid Raja Lumu yang dinamakan sempena nama Sultan Selangor pertama atau dikenali Sultan Salehuddin Shah, dirasmikan Baginda pada Oktober 2022.
Masjid yang terletak di kaki Bukit Melawati itu mula dinaik taraf sejak 2019 dengan kos RM10.4 juta dan mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah dalam satu masa.