ad
AGENSI

Yayasan MBI, GMI teroka kerjasama bantu pelajar cicir SPM belajar TVET

10 Mac 2025, 10:00 AM
Yayasan MBI, GMI teroka kerjasama bantu pelajar cicir SPM belajar TVET
Yayasan MBI, GMI teroka kerjasama bantu pelajar cicir SPM belajar TVET

SHAH ALAM, 10 MAC: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Institusi German-Malaysia (GMI) meneroka peluang kerjasama membantu pelajar tercicir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 melanjut pelajaran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya juga kini meneliti membuka peluang buat pelajar menyambung pengajian hingga ke peringkat ijazah melalui kursus ditawarkan institusi itu.

“Hasil lawatan saya ke GMI di Bangi pada dua minggu lepas mendapati institusi pendidikan ini mempunyai fasiliti latihan bertaraf dunia.

“Jadi kita mahu bantu pelajar tercicir SPM ini daripada mereka terlibat aktiviti tidak berfaedah lebih baik kita salurkan untuk sambung belajar dalam bidang TVET,” katanya ketika dihubungi.

[caption id="attachment_645334" align="alignnone" width="955"] Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 Shah Alam menunjukkan demostrasi reaksi masa (time reaction) selepas Majlis perasmian Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Karnival Eksplorasi STEM Negeri Selangor 2023/2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 29 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]

Azri menambah MBI turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor serta beberapa pihak terlibat bagi menjejaki pelajar berkenaan.

“Kita sedang menunggu data pelajar ini dari JPN Selangor untuk disaring sebelum menempatkan mereka di GMI bagi melanjutkan pengajian,” jelasnya.

Pada 15 November lalu, pentadbiran negeri menerusi Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan RM1 juta untuk melaksanakan Didik Kasih bagi menangani keciciran 3M (membaca, mengira, menulis).

Program dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) akan dilaksanakan di semua sekolah seluruh Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.